Saturday, December 24, 2011


IMAM Mesir tidak menyokong tindakan Adam Adli menurunkan bendera Perdana Menteri

Tindakan Adam Adli yang menurunkan bendera Perdana Menteri dan menggantikan dengan bendera bebas bukan menunjukkan imej yang baik sebagai mahasiswa yang menceroboh rumah kerajaan di PWTC. Sebagai seorang mahasiswa yang bakal bergelar pendidik haruslah mempunyai sikap profesionalisme dan juga berfikiran matang.Untuk menjadi seorang mahasiswa yang berjaya dan bercita – cita tinggi haruslah menumpukan masa terhadap akademik dan bukannya untuk menimbulkan sesuatu isu.Selain itu,demo yang diadakan juga bukan merupakan jalan penyelesaian tetapi hendaklah meluahkan pendapatnya dengan saluran dan medium yang betul dan bukannya dengan cara menurunkan bendera Perdana Menteri kerana ia tidak ada kena mengena dengan tuntutan mahasiswa.Tambahan pula,PWTC juga bukan merupakan tempat yang sesuai untuk menunjuk perasaan.Apa yang penting bagi kami,tindakan Adam Adli bukan menggambarkan imej seorang mahasiswa yang berfikiran matang tetapi adalah sebaliknya.Oleh itu,kami mewakili salah sebuah persatuan di Mesir sesekali tidak menyokong tindakan Adam Adli yang bergelar mahasiswa.Sebagai seorang mahasiswa hendaklah menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan bukannya hanya pandai berdemonstrasi dan membangkang kerajaan yang sedia ada.





Monday, December 5, 2011

Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura


Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab:
                                  
 "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu"
           (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).
Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata:
“Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”.
                                                                                    (Riwayat Imam Muslim)                                                                                                               

Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharram)
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya):
 “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi:
"Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu
                                                                                  (Riwayat Imam Muslim)
Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
 "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9"
                                                                                  (Riwayat Imam Muslim)
Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam Al-Syafie dan ulama’ di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).
Justeru, marilah kita merebut peluang dalam bulan yang mulia ini untuk meningkatkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
"Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram".
                                                                                               
                                     (Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih)