Friday, June 28, 2013

Garis Panduan Keselamatan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Bilangan 1 Tahun 2013

KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR

1. MAKLUMAT AM

1.1. Garis Panduan Keselamatan Bilangan 1 Tahun 2013 dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) kepada semua warganegara Malaysia di Republik Arab Mesir sebagai panduan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kekacauan berikutan protes anti pemerintah yang dijangka akan diadakan oleh pihak tertentu pada 30 Jun 2013. Ia adalah merupakan susulan kepada beberapa siri garis panduan, nasihat perjalanan, kenyataan akhbar dan makluman yang dikeluarkan sebelum ini sama ada oleh KBMK ataupun Kementerian Luar Negeri Malaysia.

2. RINGKASAN KEADAAN DAN MAKLUMAT SEMASA

2.1. Kempen membantah pemerintahan Presiden Dr Mohamed Morsi telahpun dilancarkan oleh sebuah gerakan yang dikenali sebagai Tamarrud (Rebel) yang mengumpul tandatangan rakyat Mesir. Dibantu dengan propaganda oleh media masa, kempen menentang Presiden ini dilaporkan telah menjana sokongan yang meluas dengan menjadikan tarikh 30 Jun 2013 sebagai satu perhimpunan besar-besaran di beberapa lokasi utama khususnya di Istana Presiden Ittihadia bagi menyatakan penentangan terhadap Presiden Morsi dan pengaruh Ikhwanul Muslim dalam pemerintahan negara Mesir.

2.2. Sementara itu, terdapat satu puak lain yang dikenali sebagai Tagarrod (Impartiality) yang menyokong pemerintahan Presiden Morsi. Golongan ini yang juga dikatakan meraihkan sokongan yang besar daripada rakyat Mesir, turut mengumumkan untuk berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Presiden Morsi.

2.3. Sehingga kini, banyak tindakan agresif oleh puak pro dan anti Presiden telah dilaporkan yang seharusnya diberi perhatian oleh seluruh warganegara Malaysia di Mesir. Antara lain tindakan tersebut termasuklah usaha mengapi-apikan kemarahan yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak, pengumuman sokongan padu kepada pihak tertentu serta kesediaan untuk bermati-matian mempertahankan satu-satu pihak, kenyataan Menteri Dalam Negeri Mesir tentang kesiapsiagaan pihak polis dan amaran Menteri Pertahanan Mesir bahawa pihak tentera tidak akan membiarkan mana-mana pihak merosakkan kestabilan negara, serta insiden keganasan seperti pergaduhan di antara pelbagai puak dan penyokong di beberapa lokasi yang semakin menjadi-jadi.

2.4. Selain itu, rakyat Mesir juga dilihat telah mula berpusu-pusu untuk membeli bekalan makanan dan barangan keperluan serta mengisi bekalan minyak kenderaan. Bekalan elektrik juga semakin kerap terputus selain daripada kenaikan harga barangan serta kejatuhan nilai matawang Pound Mesir juga antara reliti semasa di Mesir.

2.5. Memandangkan kempen-kempen oleh kedua-dua puak anti dan pro Presiden Morsi ini semakin agresif, banyak pihak telah menjangkakan bahawa pergaduhan di antara kedua-dua pihak akan berlaku di beberapa lokasi utama terutamanya di Istana Presiden Ittihadia di Heliopolis serta serangan ke atas beberapa institusi dan bangunan penting seperti pejabat parti-parti politik dan Ikhwanul Muslim.

2.6. Walaupun secara amnya, pejabat Kerajaan, institusi pengajian, pusat kesihatan, premis perniagaan, perbankan dan sistem pengangkutan awam masih beroperasi seperti biasa, terdapat beberapa organisasi telah mengumumkan penutupan pada 30 Jun 2013 sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku pergaduhan dan kekacauan. Beberapa buah kedutaan-kedutaan asing seperti Kedutaan Besar Amerika Syarikat dan Turki telah mengumumkan penutupan pada 30 Jun 2013.

3. LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN

3.1. Semua warganegara Malaysia disarankan untuk mematuhi nasihat-nasihat dan garis panduan berikut:

(A) Pencegahan

3.1.1. Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan seperti:

Kaherah
Istana Presiden Ittihadia di Heliopolis, Dataran Tahrir dan semua jalan dan lorong di sekitarnya, sekitar Masjid Rabiatul Adawiyah di Nasr City, kampus utama Cairo University, Masjid Nour di Abbasiah, Dataran Abbasiah, premis Kerajaan strategik seperti Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Penerangan di Maspero, sepanjang Corniche el Nile, Kementerian Dalam Negeri dan di sepanjang Mohamed Mahmoud Street, Qasr Nile Bridge, 6 October Bridge, 15 May Bridge, sekitar Hotel Shepheard, bangunan Syura Council di Qasr el Aini, sekitar kediaman Presiden dan kediaman Menteri Dalam Negeri, pejabat-pejabat parti politik khususnya Freedom and Justice Party (FJP) dan Ikhwanul Muslimin, balai-balai polis, markas – markas tentera, kawasan Moqattam dan Taggammu el Khamis dan lain-lain.

Bandar-bandar lain
Pejabat-pejabat Gabenor (Muhaffiz), pejabat-pejabat parti politik khususnya Freedom and Justice Party (FJP) dan Ikhwanul Muslimin, balai-balai polis, markas – markas tentera, Masjid Qaid Ibrahim di Iskandariah dan lain-lain.

3.1.2. Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan atau petisyen yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup atau dalam ataupun luar kampus universiti;

3.1.3. Mengelakkan daripada memberikan sebarang komen ataupun ulasan mengenai politik dalaman Mesir kepada mana-mana individu, parti-parti politik dan organisasi Mesir dan asing. Situasi semasa di Mesir adalah merupakan hal ehwal rakyat Mesir semata-mata;

3.1.4. Menangguhkan semua pergerakan ke tempat (venue) dan aktiviti mulai 28 Jun sehingga 1 Julai 2013 yang tidak berkaitan dengan pengajian ataupun tugas pekerjaan termasuklah ceramah politik Mesir dan rapat umum yang tidak ada kaitan dengan negara Malaysia. Sebarang aktiviti di luar kawasan seperti percutian atau rehlah di kawasan pelancongan utama seperti di Sinai, Marsa Matrouh, Luxor, Aswan, Suez, Al Arish dan Rafah perlulah ditangguhkan buat sementara waktu;

3.1.5. Mengelak dari berjalan-jalan / bersiar-siar di waktu malam ataupun berjalan berseorangan terutamanya bagi para mahasiswi;

3.1.6. Elakkan dari terlibat dalam pertengkaran yang boleh membawa pergaduhan dengan mana-mana anggota masyarakat tempatan yang kini bersemangat 'revolusi'. Elakkan dari mengambil tindakan bersendirian yang boleh mengundang ancaman keselamatan diri dan nyawa;

3.1.7. Mengelakkan daripada mewujudkan suasana yang tidak tenteram dengan mempercayai dan menyebarkan khabar-khabar angin (hearsay / rumours) melalui sistem pesanan ringkas (SMS), laman sesawang seperti facebook twitter, yahoo messenger, blog dan email. Adalah dinasihatkan supaya segala khabar angin disemak kesahihannya dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-Pejabat Agensi Penaja Pengajian.

3.1.8. Mahasiwa-mahasiswi dan para pelajar mestilah mendapat pandangan dan kelulusan daripada Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-Pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan, sebelum mengikuti ataupun mengadakan sebarang aktiviti sama ada secara individu ataupun berkumpulandi luar daripada kawasan tempat pengajian. Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga disarankan supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti sehingga situasi yang lebih sesuai melainkan setelah mendapatkan sokongan Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-Pejabat Agensi Penaja Pengajian.

(B) Persediaan

3.1.9. Setiap warganegara Malaysia (yang bukan mahasiswa-mahasiswi/ pelajar) yang berada di Mesir dinasihatkan supaya mendaftarkan diri dengan Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:

3.1.9.1. mengirim emel dengan menyertakan butir-butir peribadi dan alamat perhubungan kepada alamat emel: malcairo@kln.gov.my ; atau

3.1.9.2. menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon (002) 02 3761 0013 (Encik Ahmed el Wassiff, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).

3.1.10.Bagi mahasiswa-mahasiswi/pelajar Malaysia yang berada di Mesir, sila layari laman web Pejabat Education Malaysia Egypt untuk membuat pendaftaran di http://educationmalaysiaegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel: educationmalaysiaegypt@yahoo.com.

3.1.11.Mematuhi sebarang arahan keselamatan termasuk perintah berkurung, sekiranya ada, yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir dan arahan-arahan lain yang disampaikan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

3.1.12.Mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dan sebagainya serta barang berharga di tempat yang selamat;

3.1.13.Sentiasa peka dan berwaspada kepada persekitaran dan mengemaskini maklumat semasa melalui media massa dan arahan-arahan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

3.1.14.Menyimpan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang- kurangnya empat (4) hari sepanjang tempoh protes mulai 28 Jun 2013. Selain itu, kad tambah nilai prabayar telefon dan wang saku tambahan disediakan dengan sewajarnya;

3.1.15.Memperkukuhkan tahap keselamatan tempat kediaman termasuk menggunakan mangga dan kunci yang bersesuaian. Selain itu, memastikan pintu rumah dan tingkap sentiasa ditutup rapat dan dikunci sebelum meninggalkan rumah. Dengan mengambil kira kadar jenayah pecah rumah yang semakin meningkat, semua warganegara adalah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sewaktu bekalan elektrik di kediaman terputus;

3.1.16.Memastikan supaya dokumen pengenalan diri seperti kad pelajar universiti dan kad pelajar yang dikeluarkan oleh Education Malaysia Egypt ataupun pasport dibawa bersama apabila melakukan perjalanan keluar daripada rumah / kediaman. Pembawa pasport Malaysia pula perlulah memastikan supaya visa yang berkenaan masih sah berlaku;

3.1.17.Tidak keluar rumah / kediaman atau tempat tinggal khususnya pada 30 Jun 2013. Namun demikan, semua warganegara Malaysia dinasihatkan supaya tidak keluar rumah / kediaman mulai 28 Jun hingga 1 Julai 2013, melainkan perlu untuk menghadiri kuliah, menduduki peperiksaan dan sebagainya. Namun demikian, perjalanan yang perlu dilakukan itu perlulah dipastikan keselamatannya dan mengelakkan daripada melalui kawasan-kawasan perhimpunan atau protes yang menjadi tempat tumpuan orang ramai;

3.1.18.Memastikan anda dapat dihubungi dengan mudah dan sentiasa memberikan maklumat perhubungan anda yang terkini kepada Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (bagi warganegara Malaysia selain mahasiwa- mahasiswi / pelajar) dan Education Malaysia Egypt atau Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-Pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan (bagi para mahasiwa-mahasiswi / pelajar Malaysia). Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga boleh menyediakan maklumat ahli-ahli masing-masing bagi memudahkan perhubungan.

(C) Bilik Gerakan

3.1.19.Kedutaan Besar Malaysia Kaherah akan mengaktifkan Bilik Gerakan bagi memantau situasi dan sebagai pusat tindakan susulan bagi seluruh Agensi Kerajaan Malaysia di Mesir. Sebarang maklumat dan perkembangan semasa dalam tempoh operasi boleh disalurkan terus kepada Bilik Gerakan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

3.1.20.Sebagai permulaan, Bilik Gerakan di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah akan beroperasi 24 jam sehari mulai jam 0001 hrs pada 28 Jun 2013 (Jumaat) sehingga 1600 hrs pada 1 Julai 2013 (Isnin). Bilik Gerakan ini akan dilengkapkan nombor telefon khusus selama tempoh operasi iaitu: 02- 37610270 ataupun 02-37610013 / 0237610068 sambungan 141. Namun demikian, pada waktu pejabat, talian utama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah iaitu: 02-37610013 / 02-37610068 sambungan 101 boleh digunakan.

3.1.21.Selain itu, Bilik Gerakan di peringkat Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri juga akan dibuka bagi membantu Bilik Gerakan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Maklumat tentang Bilik Gerakan di peringkat Pejabat- Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri akan diedarkan secara berasingan.

(D) Kecemasan

3.1.22.Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, semua warganegara seharusnya bertenang dan tidak panik. Sila hubungi Bilik Gerakan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan / atau Bilik – Bilik Gerakan di peringkat Pejabat- Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

4. HAL-HAL LAIN

4.1. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telahpun membuat persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Oleh itu, kerjasama semua warganegara Malaysia amatlah mustahak supaya segala tindakan susulan yang dirancang akan dapat dilaksanakan apabila perlu, dengan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.

4.2. Garis Panduan Keselamatan ini bukanlah jaminan keselamatan tetapi sebagai panduan untuk keselamatan diri warganegara Malaysia semasa berada di Mesir dan bagi mempermudahkan sebarang urusan bantuan sewajarnya dihulurkan sekiranya perlu.

4.3. Selaras dengan amalan diplomasi antarabangsa, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah adalah merupakan satu-satunya pusat rujukan warganegara Malaysia semasa berada di Mesir. Sebarang pertanyaan bolehlah dirujuk ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Agensi-Agensi Kerajaan yang bernaung di bawahnya.

Kedutaan Besar Malaysia
Kaherah
25 Jun 2013 (1730 hrs)

Thursday, June 27, 2013

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) sesi 2012-2013

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Tanggal 22 Jun 2013 yang lalu, bertempat di Perpustakaan Wisma Seri Melaka Mesir telah diadakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) sesi 2012-2013 . Watikah disampaikan oleh Ustaz Anwar bin Idris, Pegawai Hal Ehwal Dan Kebajikan Pelajar Melaka di Mesir. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ustaz Ibrahim bin Hussein.
Berikut merupakan senarai ahli Jawatankuasa IMAM sesi 2012-2013
Pengerusi : Syed Luqman Hakim bin Syed Alwi
Naib pengerusi: Ahmad Sauqi bin Mohamad Ehsan
Timbalan Pengerusi: Nur Syahirah binti Suhaimi

Setiausaha : Raja Shah Imran bin Raja Ahmad Shafie
Timbalan Setiausaha : Nur Hanis Saheera binti Mohd Sidek
Timbalan Setiausaha 1: Muhammad Hadi bin Mohd Nor Azli

Bendahari :Danial Aiman bin Mohamad Zaki
Timbalan Bendahari :Sharifah Amirah binti Syed Hassan

Ketua Penerangan : Muhammad Syafiq bin Mansor
Timbalan Unit Penerangan : Nor Amalina binti Omar


Berikut disertakan gambar-gambar semasa pelantikan dijalankan.

  • Ustaz Muhd Anwar bin Idris memberikan ucapan kepada semua AJK yang dilantik.

    AJKT IMAM mendengar dengan penuh tumpuan pada ucapan pegawai HEP Melaka di Mesir.



    penyerahan watikah perlantikan kepada pengerusi IMAM sesi 2012/2013


    penyerahan watikah perlantikan kepada timbalan pengerusi IMAM sesi 2012/2013 
    Akhir kata KECEMERLANGAN TERAS KEGEMILANGAN.

                                            بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Pada 9 Jun 2013 yang lalu, seramai 6 orang ahli jawatankuasa Ikatan Mahasiswa Anak Melaka ( IMAM ) dengan diketuai oleh Saudara Syed Luqman Hakim bin Syed Alwi ( Pengerusi IMAM ) telah menghantar Datuk Wira Rashid Redza Md Salleh, iaitu Mufti Negeri Melaka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Beliau berlepas dari Seasonal Terminal untuk meneruskan perjalanan seterusnya iaitu mengerjakan umrah.

Beliau berada di bumi ardul kinanah ini selama 5 hari, bermula daripada 5 Jun 2013 sehingga 9 Jun 2013.
demi meraikan majlis perkahwinan anak lelakinya , Ahmad Fahmi Rashid Redza. Anaknya merupakan pelajar perubatan Tahun 5 Universiti Ain Shams, Kaherah. Majlis berlangsung pada 6 Jun 2013 yang lalu, bertempat di Wisma Seri Melaka Mesir.

Berikut dikongsikan beberapa keping gambar bersama beliau yang sempat pihak kami rakamkan untuk dikongsikan sebagai tatapan kepada semua.


Penyerahan cenderahati kepada Datuk Wira Rashid Redza Md Salleh ( Mufti Negeri Melaka ) oleh Saudara  Syed Luqman Hakim bin Syed Alwi ( Pengerusi IMAM )


Barisan kepimpinan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) sesi 2012/2013 bersama  Datuk Wira Rashid Redza Md Salleh ( Mufti Negeri Melaka ) dan dua orang anaknya

Sunday, June 9, 2013

ISRA' MIKRAJ 2013

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...

Alhamdulillah bersyukur kehadrat ALLAH yang sentiasa melimpahkan rezeki dan rahmat kepada hamba hamba yang dikehandaki-Nya

Ketika kita sedang sibuk dengan urusan duniawi ini tanpa kita sedari telah pun menjangkau hari yang wajib diketahui dan diingati oleh umat islam iaitu hari ISRA' MIKRAJ yang bertarikh 27 rejab.

Para pembaca sekalian,
walaupun isra' mikraj ini disambut setiap tahun namun mengingati peristiwa ini adalah salah satu cara untuk kita mempertingkatkan iman kepada ALLAH.

Isra' bermaksud perjalanan Nabi S.A.W menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram,Mekah ke Masjidil Aqsa,Palestin manakala Mikraj pula ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidhatil Muntaha iaitu langit ketujuh
Perjalanan Rasulullah S.A.W  ini berlaku dalam masa satu malam sahaja dan baginda ditemani oleh dua malaikat iaitu malaikat jibril dan mikail.Menariknya,sebelum baginda menghadap ALLAH,baginda telah menjalani pembedahan hati oleh malaikat.

Para pembaca yang dikasihi,
sepanjang perjalanan Rasulullah S.A.W telah menghadapi detik dan peristiwa yang penuh simbolik dan ajaib.
Antara peristiwa yang disaksikan oleh Baginda adalah kubur Mashitah yang harum semerbak bunga,sekumpulan manusia yang memecahkan kepala mereka sendiri akibat berat kepala untuk sujud kepada ALLAH,sekumpulan lelaki yang menghimpunkan kayu namun tidak dapat dipikulnya tetapi ditambahkan lagi kayu yang lain akibat tidak menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain dan sebagainya.

Semasa mikraj pula,Rasulullah S.A.W dan malaikat telah didatangi sebuah tangga yang indah dari syurga untuk pergi dari langit pertama hingga ke langit kesepuluh untuk bermunajat kepada ALLAH.

Selepas mikraj,Rasulullah S.A.W kembali ke langit dunia pada malam yang sama dengan menaiki Buraq.


Pembaca yang dihormati,
kesimpulannya walaupun peristiwa Isra' Mikraj memperlihatkan kejadian aneh dan ajaib namun ia adalah penting untuk kita memahami dan menghayati setiap kejadian yang berlaku agar diri ini dapat memberi keinsafan dan kepercayaan kepada ALLAH yang Maha Berkuasa.

Wallahu'alam