Wednesday, October 16, 2013

                                                       بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم 


Assalamualaikum w.b.t

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah satu perayaan yang istimewa kerana ia adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim . dan juga kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. 

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.


Akhir kata, selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. Sambutlah ia dengan penuh pengertian dan  seribu kefahaman. Kullu Am Wa Antum bi Alfi Khoir.


Monday, September 30, 2013

                                               بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم 


Assalamualaikum w.b.t

Pada  25 September 2013 yang lalu,satu majlis perjumpaan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir bersama YAB Ketua Menteri Melaka telah diadakan di Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka. Perjumpaan tersebut bertujuan mencari solusi yang terbaik untuk semua pelajar  mengenai urusan pengajian mereka di sana. Perjumpaan tersebut turut disertai oleh ibu bapa pelajar, wakil-wakil dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Lembaga Farmasi Malaysia (LMF) , Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) dan pihak-pihak lain yang berkaitan.

Dalam perjumpaan tersebut, banyak perkara yang telah disampaikan demi kebaikan bersama. Para pelajar digalakkan membuat permohonan ke IPT secara atas talian (online) melalui link berikut : http://www.moe.gov.my/ . Sebarang hebahan maklumat boleh diperoleh daripada Education Malaysia Egypt (EME) dan Student World

Setelah majlis tersebut berakhir, tiga orang wakil daripada persatuan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) Mesir telah berkesempatan mengadakan satu perbincangan ringkas dengan YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ir. Idris Haron. Perjumpaan ini diwakili oleh : 

  1.  Syed Luqman Hakim bin Syed Alwi (Pengerusi IMAM) 
  2.  Ahmad Sauqi bin Mohamad Ehsan (Naib Pengerusi IMAM) 
  3.  Muhammad Syafiq bin Mansor (Ketua Penerangan IMAM)
YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ir. Idris Haron sedang memberikan ucapan.

Wakil AJK IMAM bersama dengan YAB Ketua Menteri Melaka.




Thursday, September 5, 2013

                                                   بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم 


Assalamualaikum w.b.t

Kepada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di Mesir, Kementerian Pendidikan Malaysia akan mengadakan satu sesi taklimat dan perjumpaan bersama pihak IPT ( Institut Pengajian Tinggi ) dan Badan Profesional. Berikut merupakan hebahan maklumat tersebut. Klik link di bawah untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.



Maklumat penting untuk pelajar Malaysia di Mesir                     



Friday, August 30, 2013

HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-56


s
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-56 dan Hari Malaysia ke-50. Tema hari kemerdekaan pada tahun ini adalah Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku.


Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. 

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu memajukan diri kita dan pertahankan kedaulatan dan kebebasan yang sedang kita nikmati ini. Jangan kita gadaikan maruah tanah air tercinta ini semata-mata untuk kepentingan satu-satu pihak dan diri sendiri.

Akhir kalam, selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-56. Hayatilah erti dan nilai kemerdekaan yang kita miliki ini. 

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !



Saturday, July 27, 2013


                                                     بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم





Nuzul Al-Quran



Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnyaberperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. 

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran inikemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. 
Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqanbererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan 
(sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)


LAILATUL QADAR

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
Contohnya adalah seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.


Antara keistimewaan malam Lailatul Qadar : 

1. Lailatul Qadar adalah waktu diturunkannya Al Qur’an


            2. Lailatul Qadar lebih baik dari 1000 bulan


            3. Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan


            4. Malaikat dan juga Ar Ruuh -iaitu malaikat Jibril- turun pada Lailatul Qadar


           5. Dosa setiap orang yang menghidupkan malam Lailatul Qadar akan diampuni oleh Allah


Sumber diperoleh daripada  :

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
2. Laman web 
http://muslim.or.id


Thursday, July 25, 2013

MAJLIS IFTAR PERDANA KELAB PEGUAM MUDA MESIR


بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Pada 23 Julai 2013, Kelab Peguam Muda Mesir telah mengadakan Majlis Iftar Perdana di Rumah Negeri Johor Hayyu Thamin. Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (I.M.A.M) Mesir yang diwakili pengerusi dan setiausahanya telah hadir dalam majlis tersebut. Turut juga hadir bagi memeriahkan Majlis Iftar Perdana ini adalah Hj Maulan bin Asmoni, Pegawai Khas Menteri Besar Negeri Johor di Mesir, Ustaz Khairi bin Jalalluddin, Atase Pendidikan Education Malaysia Egypt( EME), Ustaz Muhd Anwar bin Idris, Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka di Mesir, dan pegawai-pegawai rumah negeri yang lain.

Majlis bermula dengan bacaan doa berbuka puasa. Selepas berbuka para hadirin yang hadir menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Majlis diteruskan dengan jamuan hidangan berat yang telah disediakan oleh Kelab Peguam Muda Mesir. Majlis juga tidak ketinggalan diisi dengan tazkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhd Anwar bin Idris, Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar Melaka di Mesir.


Dengan ini juga disertakan gambar-gambar semasa majlis berlangsung. 

Pengerusi Majlis memulakan majlis.

Hadirin menunggu jamuan dihidang.

Pegawai-pegawai dan pembantu pegawai rumah negeri sebelum menjamu selera.

Ustaz Muhd Anwar bin Idris menyampaikan tazkirah.

Syed Luqman Hakim bin Syed Alwi Pengerusi I.M.A.M dan Ustaz Ibrahim bin Hussein, Pembantu Pegawai HEP Melaka di Mesir bersama pegawai yang lain. 


Friday, June 28, 2013

Garis Panduan Keselamatan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Bilangan 1 Tahun 2013

KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR

1. MAKLUMAT AM

1.1. Garis Panduan Keselamatan Bilangan 1 Tahun 2013 dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) kepada semua warganegara Malaysia di Republik Arab Mesir sebagai panduan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kekacauan berikutan protes anti pemerintah yang dijangka akan diadakan oleh pihak tertentu pada 30 Jun 2013. Ia adalah merupakan susulan kepada beberapa siri garis panduan, nasihat perjalanan, kenyataan akhbar dan makluman yang dikeluarkan sebelum ini sama ada oleh KBMK ataupun Kementerian Luar Negeri Malaysia.

2. RINGKASAN KEADAAN DAN MAKLUMAT SEMASA

2.1. Kempen membantah pemerintahan Presiden Dr Mohamed Morsi telahpun dilancarkan oleh sebuah gerakan yang dikenali sebagai Tamarrud (Rebel) yang mengumpul tandatangan rakyat Mesir. Dibantu dengan propaganda oleh media masa, kempen menentang Presiden ini dilaporkan telah menjana sokongan yang meluas dengan menjadikan tarikh 30 Jun 2013 sebagai satu perhimpunan besar-besaran di beberapa lokasi utama khususnya di Istana Presiden Ittihadia bagi menyatakan penentangan terhadap Presiden Morsi dan pengaruh Ikhwanul Muslim dalam pemerintahan negara Mesir.

2.2. Sementara itu, terdapat satu puak lain yang dikenali sebagai Tagarrod (Impartiality) yang menyokong pemerintahan Presiden Morsi. Golongan ini yang juga dikatakan meraihkan sokongan yang besar daripada rakyat Mesir, turut mengumumkan untuk berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Presiden Morsi.

2.3. Sehingga kini, banyak tindakan agresif oleh puak pro dan anti Presiden telah dilaporkan yang seharusnya diberi perhatian oleh seluruh warganegara Malaysia di Mesir. Antara lain tindakan tersebut termasuklah usaha mengapi-apikan kemarahan yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak, pengumuman sokongan padu kepada pihak tertentu serta kesediaan untuk bermati-matian mempertahankan satu-satu pihak, kenyataan Menteri Dalam Negeri Mesir tentang kesiapsiagaan pihak polis dan amaran Menteri Pertahanan Mesir bahawa pihak tentera tidak akan membiarkan mana-mana pihak merosakkan kestabilan negara, serta insiden keganasan seperti pergaduhan di antara pelbagai puak dan penyokong di beberapa lokasi yang semakin menjadi-jadi.

2.4. Selain itu, rakyat Mesir juga dilihat telah mula berpusu-pusu untuk membeli bekalan makanan dan barangan keperluan serta mengisi bekalan minyak kenderaan. Bekalan elektrik juga semakin kerap terputus selain daripada kenaikan harga barangan serta kejatuhan nilai matawang Pound Mesir juga antara reliti semasa di Mesir.

2.5. Memandangkan kempen-kempen oleh kedua-dua puak anti dan pro Presiden Morsi ini semakin agresif, banyak pihak telah menjangkakan bahawa pergaduhan di antara kedua-dua pihak akan berlaku di beberapa lokasi utama terutamanya di Istana Presiden Ittihadia di Heliopolis serta serangan ke atas beberapa institusi dan bangunan penting seperti pejabat parti-parti politik dan Ikhwanul Muslim.

2.6. Walaupun secara amnya, pejabat Kerajaan, institusi pengajian, pusat kesihatan, premis perniagaan, perbankan dan sistem pengangkutan awam masih beroperasi seperti biasa, terdapat beberapa organisasi telah mengumumkan penutupan pada 30 Jun 2013 sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku pergaduhan dan kekacauan. Beberapa buah kedutaan-kedutaan asing seperti Kedutaan Besar Amerika Syarikat dan Turki telah mengumumkan penutupan pada 30 Jun 2013.

3. LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN

3.1. Semua warganegara Malaysia disarankan untuk mematuhi nasihat-nasihat dan garis panduan berikut:

(A) Pencegahan

3.1.1. Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan seperti:

Kaherah
Istana Presiden Ittihadia di Heliopolis, Dataran Tahrir dan semua jalan dan lorong di sekitarnya, sekitar Masjid Rabiatul Adawiyah di Nasr City, kampus utama Cairo University, Masjid Nour di Abbasiah, Dataran Abbasiah, premis Kerajaan strategik seperti Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Penerangan di Maspero, sepanjang Corniche el Nile, Kementerian Dalam Negeri dan di sepanjang Mohamed Mahmoud Street, Qasr Nile Bridge, 6 October Bridge, 15 May Bridge, sekitar Hotel Shepheard, bangunan Syura Council di Qasr el Aini, sekitar kediaman Presiden dan kediaman Menteri Dalam Negeri, pejabat-pejabat parti politik khususnya Freedom and Justice Party (FJP) dan Ikhwanul Muslimin, balai-balai polis, markas – markas tentera, kawasan Moqattam dan Taggammu el Khamis dan lain-lain.

Bandar-bandar lain
Pejabat-pejabat Gabenor (Muhaffiz), pejabat-pejabat parti politik khususnya Freedom and Justice Party (FJP) dan Ikhwanul Muslimin, balai-balai polis, markas – markas tentera, Masjid Qaid Ibrahim di Iskandariah dan lain-lain.

3.1.2. Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan atau petisyen yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup atau dalam ataupun luar kampus universiti;

3.1.3. Mengelakkan daripada memberikan sebarang komen ataupun ulasan mengenai politik dalaman Mesir kepada mana-mana individu, parti-parti politik dan organisasi Mesir dan asing. Situasi semasa di Mesir adalah merupakan hal ehwal rakyat Mesir semata-mata;

3.1.4. Menangguhkan semua pergerakan ke tempat (venue) dan aktiviti mulai 28 Jun sehingga 1 Julai 2013 yang tidak berkaitan dengan pengajian ataupun tugas pekerjaan termasuklah ceramah politik Mesir dan rapat umum yang tidak ada kaitan dengan negara Malaysia. Sebarang aktiviti di luar kawasan seperti percutian atau rehlah di kawasan pelancongan utama seperti di Sinai, Marsa Matrouh, Luxor, Aswan, Suez, Al Arish dan Rafah perlulah ditangguhkan buat sementara waktu;

3.1.5. Mengelak dari berjalan-jalan / bersiar-siar di waktu malam ataupun berjalan berseorangan terutamanya bagi para mahasiswi;

3.1.6. Elakkan dari terlibat dalam pertengkaran yang boleh membawa pergaduhan dengan mana-mana anggota masyarakat tempatan yang kini bersemangat 'revolusi'. Elakkan dari mengambil tindakan bersendirian yang boleh mengundang ancaman keselamatan diri dan nyawa;

3.1.7. Mengelakkan daripada mewujudkan suasana yang tidak tenteram dengan mempercayai dan menyebarkan khabar-khabar angin (hearsay / rumours) melalui sistem pesanan ringkas (SMS), laman sesawang seperti facebook twitter, yahoo messenger, blog dan email. Adalah dinasihatkan supaya segala khabar angin disemak kesahihannya dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-Pejabat Agensi Penaja Pengajian.

3.1.8. Mahasiwa-mahasiswi dan para pelajar mestilah mendapat pandangan dan kelulusan daripada Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-Pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan, sebelum mengikuti ataupun mengadakan sebarang aktiviti sama ada secara individu ataupun berkumpulandi luar daripada kawasan tempat pengajian. Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga disarankan supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti sehingga situasi yang lebih sesuai melainkan setelah mendapatkan sokongan Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-Pejabat Agensi Penaja Pengajian.

(B) Persediaan

3.1.9. Setiap warganegara Malaysia (yang bukan mahasiswa-mahasiswi/ pelajar) yang berada di Mesir dinasihatkan supaya mendaftarkan diri dengan Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:

3.1.9.1. mengirim emel dengan menyertakan butir-butir peribadi dan alamat perhubungan kepada alamat emel: malcairo@kln.gov.my ; atau

3.1.9.2. menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon (002) 02 3761 0013 (Encik Ahmed el Wassiff, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).

3.1.10.Bagi mahasiswa-mahasiswi/pelajar Malaysia yang berada di Mesir, sila layari laman web Pejabat Education Malaysia Egypt untuk membuat pendaftaran di http://educationmalaysiaegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel: educationmalaysiaegypt@yahoo.com.

3.1.11.Mematuhi sebarang arahan keselamatan termasuk perintah berkurung, sekiranya ada, yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir dan arahan-arahan lain yang disampaikan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

3.1.12.Mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dan sebagainya serta barang berharga di tempat yang selamat;

3.1.13.Sentiasa peka dan berwaspada kepada persekitaran dan mengemaskini maklumat semasa melalui media massa dan arahan-arahan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

3.1.14.Menyimpan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang- kurangnya empat (4) hari sepanjang tempoh protes mulai 28 Jun 2013. Selain itu, kad tambah nilai prabayar telefon dan wang saku tambahan disediakan dengan sewajarnya;

3.1.15.Memperkukuhkan tahap keselamatan tempat kediaman termasuk menggunakan mangga dan kunci yang bersesuaian. Selain itu, memastikan pintu rumah dan tingkap sentiasa ditutup rapat dan dikunci sebelum meninggalkan rumah. Dengan mengambil kira kadar jenayah pecah rumah yang semakin meningkat, semua warganegara adalah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sewaktu bekalan elektrik di kediaman terputus;

3.1.16.Memastikan supaya dokumen pengenalan diri seperti kad pelajar universiti dan kad pelajar yang dikeluarkan oleh Education Malaysia Egypt ataupun pasport dibawa bersama apabila melakukan perjalanan keluar daripada rumah / kediaman. Pembawa pasport Malaysia pula perlulah memastikan supaya visa yang berkenaan masih sah berlaku;

3.1.17.Tidak keluar rumah / kediaman atau tempat tinggal khususnya pada 30 Jun 2013. Namun demikan, semua warganegara Malaysia dinasihatkan supaya tidak keluar rumah / kediaman mulai 28 Jun hingga 1 Julai 2013, melainkan perlu untuk menghadiri kuliah, menduduki peperiksaan dan sebagainya. Namun demikian, perjalanan yang perlu dilakukan itu perlulah dipastikan keselamatannya dan mengelakkan daripada melalui kawasan-kawasan perhimpunan atau protes yang menjadi tempat tumpuan orang ramai;

3.1.18.Memastikan anda dapat dihubungi dengan mudah dan sentiasa memberikan maklumat perhubungan anda yang terkini kepada Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (bagi warganegara Malaysia selain mahasiwa- mahasiswi / pelajar) dan Education Malaysia Egypt atau Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-Pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan (bagi para mahasiwa-mahasiswi / pelajar Malaysia). Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga boleh menyediakan maklumat ahli-ahli masing-masing bagi memudahkan perhubungan.

(C) Bilik Gerakan

3.1.19.Kedutaan Besar Malaysia Kaherah akan mengaktifkan Bilik Gerakan bagi memantau situasi dan sebagai pusat tindakan susulan bagi seluruh Agensi Kerajaan Malaysia di Mesir. Sebarang maklumat dan perkembangan semasa dalam tempoh operasi boleh disalurkan terus kepada Bilik Gerakan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

3.1.20.Sebagai permulaan, Bilik Gerakan di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah akan beroperasi 24 jam sehari mulai jam 0001 hrs pada 28 Jun 2013 (Jumaat) sehingga 1600 hrs pada 1 Julai 2013 (Isnin). Bilik Gerakan ini akan dilengkapkan nombor telefon khusus selama tempoh operasi iaitu: 02- 37610270 ataupun 02-37610013 / 0237610068 sambungan 141. Namun demikian, pada waktu pejabat, talian utama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah iaitu: 02-37610013 / 02-37610068 sambungan 101 boleh digunakan.

3.1.21.Selain itu, Bilik Gerakan di peringkat Pejabat-Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri juga akan dibuka bagi membantu Bilik Gerakan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Maklumat tentang Bilik Gerakan di peringkat Pejabat- Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri akan diedarkan secara berasingan.

(D) Kecemasan

3.1.22.Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, semua warganegara seharusnya bertenang dan tidak panik. Sila hubungi Bilik Gerakan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan / atau Bilik – Bilik Gerakan di peringkat Pejabat- Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

4. HAL-HAL LAIN

4.1. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telahpun membuat persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Oleh itu, kerjasama semua warganegara Malaysia amatlah mustahak supaya segala tindakan susulan yang dirancang akan dapat dilaksanakan apabila perlu, dengan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.

4.2. Garis Panduan Keselamatan ini bukanlah jaminan keselamatan tetapi sebagai panduan untuk keselamatan diri warganegara Malaysia semasa berada di Mesir dan bagi mempermudahkan sebarang urusan bantuan sewajarnya dihulurkan sekiranya perlu.

4.3. Selaras dengan amalan diplomasi antarabangsa, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah adalah merupakan satu-satunya pusat rujukan warganegara Malaysia semasa berada di Mesir. Sebarang pertanyaan bolehlah dirujuk ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Agensi-Agensi Kerajaan yang bernaung di bawahnya.

Kedutaan Besar Malaysia
Kaherah
25 Jun 2013 (1730 hrs)