TINTA PENGERUSI




بِسْمِ اَللهِ اَلرَّحْماَنِ اَلرَّحِيمِ 

Assalamualaikum wbt.

Segala pujian bagi Allah dengan rahmat dan bimbinganNya, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu `alaihi Wassallam serta ahli keluarga baginda, para sahabat, dan orang-orang yang memilih untuk berada diatas jalan baginda SAW.

Ingin saya berkongsi sesuatu kepada semua, kedatangan Islam yang diwahyukan kepada baginda membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Natijahnya wahyu yang pertama yang di hantar oleh Malaikat Jibrail  ialah ayat 1-5 surah Al-‘Alaq dengan jelas mewajibkan pencarian ilmu bagi setiap umat manusia.Oleh itu agama Islam ini dapatlah dikatakan sebagai tertegak atas dasar ilmu dan pengetahuan. Tanpa ilmu dan pengetahuan kita tidak akan dapat mengenal khaliq dan seterusnya tidak dapat berbakti kepadaNya sebagai khalifah dimuka bumi ini..Perkataan “ilmu” disebut kira-kira 750 kali dalam Al-Qur’an melalui berbagai bentuk (Muhammad Dawilah,1993:9). Orang yang berilmu diberikan pujian dan dipandang mulia di sisi Islam sebagai buktinya kita dapat  lihat melalui banyak ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang ilmu antaranya,

Firman Allah S.W.T maksudnya:
“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beerti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”. (Al-Baqarah:269)

Hal ini jelas membuktikan bahawa golongan yang berilmu diangkat tinggi darjatnya oleh Allah SWT. Ini bertepatan dengan matlamat kita sebagai mahasiswa di bumi ardul kinanah ini untuk mencari ilmu tidak kira mahasiswa dari jurusan perubatan mahupun jurusan pengajian islam.Saya berpesan kepada para mahasiswa dan mahasiswi sekalian untuk sentiasa beristiqamah dalam menuntut ilmu dan berusaha sehabis mungkin dalam mengejar kecemerlangan kerana setiap keringat saudara-saudara sekalian akan dinilai oleh Allah  SWT di akhirat kelak. Ibubapa kalian pasti berbangga diatas kejayaan saudara disini .

Mahasiswa dan  mahasiswi sekalian,

Alhamdulillah berlabuh sudah tirai kepimpinan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) Mesir sesi 2013/2014. Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan lalu atas pelbagai kejayaan yang membawa IMAM terus segar dan dikenali dalam kalangan mahasiswa anak Melaka di bumi Mesir ini. Kini giliran baru sesi 2014/2015 untuk mengorak langkah mewarnai perjalanan IMAM pada masa akan datang. Taklifan untuk menerajui kepimpinan kali ini amatlah besar ertinya pada saya, namun bukanlah bermaksud hanya saya adalah yang terbaik dikalangan semua ahli IMAM kerana didunia ini tiada satu makhluk yang sempurna melainkan Allah SWT. Moga Allah SWT membantu dan meredhai perlantikan hambaNya ini.

Sebarang perlaksanaan agenda persatuan dan pentarbiyahan diri menjadi seorang daie dapat dicapai secara menyeluruh jika perpaduan menjadi tonggak sesebuah persatuan disamping menitikberatkan konsep ukhuwah islamiyah dalam pengurusan dan perlaksanaan sebarang program dan aktiviti dibawah kelolaan IMAM sendiri.Oleh itu saya menyeru kepada semua mahasiswa anak Melaka dari pelbagai universiti di Mesir ini untuk terus menyokong kepimpinan IMAM dan bersama-sama merealisasikan visi kita iaitu "KECEMERLANGAN TERAS KEGEMILANGAN".

Saya berlapang dada dan berbesar hati jika ada teguran dan kritikan daripada pihak luar untuk saya perbaiki dan saya mengharap agar seluruh mahasiswa dan mahasiswi mempersiapkan diri dengan segala ilmu untuk menjadi seorang daie yang berjaya. Disamping itu juga kebersamaan kita dalam sesuatu perkara akan memperkuatkan tautan ukhuwah dan menjauhkan dari perpecahan mahupun perbalahan.Semoga Perlantikan saf kepimpinan IMAM sesi 2014/2015 kali ini akan membawa anjakan paradigma dalam memandu IMAM kearah agenda kewajipan menuntut ilmu dan pentarbiyahan diri dikalangan mahasiswa anak Melaka di Mesir. Mohon doa daripada sahabat kalian . InsyaAllah. 

Sirru`ala barokatillah.

Ahmad Sauqi Bin Mohamad Ehsan 
Pengerusi 
Ikatan Mahasiswa Anak Melaka 
(IMAM) Mesir