Alhamdulillah syukur kehadrat
Allah S.W.T dengan limpah dan kurniaNya Jaulah ke Port Sa’id buat kali pertama
anjuran Ikatan Mahasiswa Anak Melaka
(IMAM) Mesir telah berjaya dilaksanakan.
Seramai
30 orang peserta yang terdiri daripada anak Melaka dan beberapa orang wakil
daripada Nur Tower telah menyertai
jaulah tersebut.Dalam jaulah tersebut, dua orang Pembantu Pegawai HEP turut
serta untuk memantau perjalanan kami. Para peserta dikehendaki berkumpul di
hadapan Wisma Seri Melaka Mesir seawal jam 6.30 pagi untuk sesi pendaftaran.
Perjalanan kami dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz
Ibrahim bin Hussein (Pembantu Pegawai HEP). Setelah hampir 3 jam perjalanan, kami
berhenti buat sementara berdekatan dengan jambatan yang menghubungkan Qantara dengan Utara Sinai. Pemandu pelancong yang ditugaskan ketika itu, Ustaz
Hassan memberikan sedikit info mengenai spesifikasi jambatan tersebut. Setelah
itu, kami meneruskan semula perjalanan ke Port Sa’id dan tiba di sana pada jam
11.30 pagi. Kemudian kami menaiki feri ke Port Fuad dan berhenti seketika untuk
bergambar. Setelah selesai makan tengahari dan solat Jamak Zuhur-Asar, jaulah
diteruskan lagi dengan aktiviti membeli baju sejuk yang merupakan tujuan utama
jaulah ini diadakan.
Setibanya
kami di sana, terlihat riak wajah peserta yang ceria kerana ada segelintir
perserta yang merupakan kali pertama sampai di Port Sa’id. Kami membahagikan
para peserta kepada dua kumpulan ikhwah dan akhawat dan mula berpecah mengikut
hala tuju masing-masing. Mereka diberi masa selama 2 jam untuk membeli baju
sejuk di pasar berdekatan.
Selepas
hampir 2 jam, semua peserta berkumpul semula di sebuah masjid berdekatan.
Setelah semua peserta berada di dalam bas, kami meneruskan perjalanan ke
Dumiyat dan perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Setibanya
kami di sana, para peserta diberikan makanan malam. Di sana terdapat sebuah
tempat yang dinamakan Ra’sul Bar yang
merupakan sebuah destinasi pelancongan istimewa di Dumiyat dimana menjadi
tempat pertemuan antara Sg.Nil dan Laut Mediterranen. Seperti yang tercatat di
dalam Al-Quran, Surah Ar Rahman ayat
18-19 yang bermaksud ‘Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu
dustakan? (18). Dia membiarkan dua laut mengalir dan kemudiannya bertemu (19).
Waktu senja juga membibitkan kenangan terindah setiap peserta dimana sesi
bergambar diadakan dengan berlatarbelakangkan keindahan pertemuan dua lautan
dan rumah api.
Setelah
selesai, para peserta menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan dan
kemudian kami bertolak semula ke Kaherah. Alhamdulillah, jaulah yang merupakan
kali pertama diadakan oleh IMAM Mesir berjaya dilaksanakan di samping dapat
mengenali lebih dekat bumi yang penuh barakah ini.