Sunday, May 8, 2011

BAHAYA UBAT TIRUAN






Rampasan produk palsu guna bahan murah meningkat, boleh jejas kesihatan pengguna jika tak dikawal
FENOMENA ubat tiruan melanda di seluruh dunia dan ia bukanlah sesuatu yang mudah dikawal. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan secara purata 10 peratus daripada keseluruhan ubat-ubatan yang digunakan di seluruh dunia adalah ubat tiruan.
WHO juga melaporkan di sesetengah negara, 50 peratus daripada bekalan ubatnya tiruan. Nilai industri ubat tiruan pula melebihi AS$32 bilion (RM109 bilion) pada 2003, dan ia mencecah sehingga AS$75 bilion (RM256 bilion) setahun iaitu peningkatan hampir 90 peratus pada 2005.
Antara ubat tiruan yang popular termasuk antibiotik, ubat alahan, hormon dan steroid. Ubat-ubatan ini merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan ubat tiruan yang dilaporkan berada dalam pasaran.
Di Malaysia, jumlah ubat-ubatan tiruan yang dirampas meningkat dari setahun ke setahun. Pada 2005, misalnya Biro Perkhidmatan Farmaseutikal merampas sebanyak 12,242 produk. Pada 2006, jumlah itu meningkat kepada 23,263 produk atau bernilai RM5.5 juta. Malah pada 2007, polis Johor merampas pil amphetamine tiruan berjumlah RM320,000.
Antara jenama ubat tiruan yang diisytiharkan tidak selamat digunakan oleh Biro Perkhidmatan Farmaseutikal, Kementerian Kesihatan Malaysia ialah Tongkat Ali Super Power, Maajun Kuat, Kapsul Tongkat Ali Asli, Pil Power Sendi dan Pil Resdung.
Pengarah Wilayah Keselamatan Global Pfizer, Asia Pasifik, Dave Campbell, berkata di Malaysia isu penggunaan ubat tiruan adalah antara cabaran sektor kesihatan awam hari ini. Walaupun ia tidak seburuk di negara lain di dunia, senarionya masih wujud dan mengancam nyawa pengguna jika pengguna tiada kesedaran mengenainya.

No comments:

Post a Comment