Saturday, May 14, 2011

INFO SEMASA

PEKAN LEGASI PROJEK "MELAKA ALIVE"


PEKAN Legasi Sdn Bhd (Pekan Legasi) dulunya dikenali Sarnex IXL Sdn Bhd mendapat kemudahan pinjaman RM18.3 juta daripada SME Bank untuk membangunkan projek pelancongan 'Melaka Alive' di Bandaraya Melaka Bersejarah.
Kemudahan pinjaman terbabit bagi membangunkan fasa pertama projek di tapak warisan dunia itu membabitkan pembinaan Bahtera Merdeka, iaitu pertunjukan cahaya dan bunyi menggunakan teknologi terkini termasuk lima dimensi (5D). Bahtera Merdeka berupa pertunjukan teater dilengkapi teknologi cahaya, air dan letupan menggunakan kesan khas membabitkan persembahan kisah sejarah Melaka dan ditayangkan di atas skrin air.

Projek pertama seumpamanya di negara ini, dibangunkan dengan kos keseluruhan RM62.59 juta. 

Kerja pembinaan fasa pertama membabitkan kos RM21.185 juta dimulakan Oktober tahun lalu dan 70 peratus sudah disiapkan.

Presiden Pekan Legasi, Mohd Nizar Mohd Najib, berkata fasa pertama projek itu dijadualkan siap pada penghujung tahun ini, bakal menjadi satu lagi mercu tanda sektor pelancongan di Melaka. 
Katanya, proses pembikinan filem untuk tayangan di Bahtera Merdeka sudah disiapkan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan dalam proses penyuntingan terakhir bagi memastikan ia memberi impak bertaraf dunia.

“Pembikinan filem ini dilakukan Daniel Hoffman, pengarah video taman dan tarikan pelancongan terkenal di dunia, selain pernah menjadi calon Pengarah Terbaik Anugerah Akademi Oscar,” katanya pada majlis memeterai perjanjian kemudahan pinjaman itu di Melaka, semalam.

Pada majlis itu, Pekan Legasi diwakili Mohd Nizar manakala SME Bank oleh Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus. Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Naim Abu Bakar mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Fasa kedua projek itu, kata Mohd Nizar, dijangka dibangunkan pada suku pertama tahun depan membabitkan penaikan taraf dan mekanisma aset muzium milik PERZIM seperti Muzium Sejarah, Maritim, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Rakyat dengan kos RM41.4 juta.

No comments:

Post a Comment