Oleh Noor Azlina Zainudin (Yang menyertai rombongan media ke Epsom College, Surrey, United Kingdom baru-baru ini)
azlina@nstp.com.my
2011/06/13
Bangunan akademik di EC UK bercirikan era Victoria dan dihiasi lanskap menarik.
Sambil berjalan menuju ke bangunan utama untuk dibawa bertemu Pengarah Kemasukan dan Komunikasi EC, Paul Green, kelihatan beberapa pelajar bergerak pantas menuju ke lokasi tujuan masing-masing sambil melemparkan senyuman dan ucapan selamat tanda hormat.Pelajar lelakinya kelihatan segak berkot dan seluar biru gelap manakala skirt bagi pelajar perempuan, semuanya nampak cergas, berketerampilan, memiliki keyakinan tinggi dan berdisiplin dalam menjalani kehidupan seharian di EC.
EC bermula sebagai Royal Medical Benevolent College dan diasaskan oleh Dr John Propert pada 1853 yang mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan balu pegawai perubatan memperoleh pendidikan terbaik pada ketika itu.
Kini EC berkembang sebagai sebuah sekolah terkemuka di UK dan menempatkan hampir 800 pelajar terdiri daripada pelajar harian, mingguan dan mendiami asrama sepenuh masa.
Memiliki lebih daripada 50 bilik darjah yang menempatkan pelajar dalam jumlah yang kecil, dengan setiap bilik darjah dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang diintegrasi dalam proses pembelajaran.
Malah pelajar memiliki akses untuk menggunakan kemudahan ICT yang terdapat di semua blok bangunan akademik dan asrama bagi menggalakkan penggunaan multimedia, internet dan emel dalam kalangan pelajar.
Selain kecemerlangan akademik, EC turut membekalkan pelajar dengan pendidikan dan pengalaman baru dalam segala aspek serta diseimbangkan lagi dengan aktiviti kokurikulum yang bukan saja membabitkan sukan dan permainan, malah merangkumi bidang seni dan reka bentuk, muzik dan drama.
Berlandaskan konsep sukan untuk semua, lebih 25 jenis sukan ditawarkan di EC. Antaranya olahraga, ragbi, kriket, hoki, bola jaring, tenis, merentas desa, golf, seni mempertahankan diri, perahu layar dan ‘rounders’.
Menurut Paul, setiap pelajar diberi peluang sama rata untuk menyertai pertandingan sama ada pada peringkat dalaman atau wakil sekolah dan sehingga kini, EC sudah melahirkan ramai atlet sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Selain itu, program seni dan reka bentuk direka khusus bagi pelajar yang mahu menyerlahkan bakat mereka dengan kemudahan studio khas bagi kerja seramik, pembuatan tembikar, arca, tekstil, fotografi dan seni lukis.
Studio turut dilengkapi teknologi terkini seperti reka bentuk tambahan komputer dan pemotongan laser bagi membekalkan pelajar dengan pengetahuan tambahan seiring perkembangan semasa.
Atas dasar mahu memberi peluang kepada masyarakat luar yang mahu anak mereka memperoleh pendidikan terbaik seperti di EC UK, EC bakal melebarkan sayapnya ke negara ini dan memilih kawasan seluas 28.3 hektar di Kuala Lumpur Education City yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan sebagai lokasi pertama di luar UK.
EC Malaysia yang sudah mengadakan majlis pecah tanah secara rasminya pada Ogos tahun lalu dan kampusnya dijangka siap menjelang hujung tahun depan.
Berbeza dengan UK, EC Malaysia akan menawarkan lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda bermula dengan kanak-kanak seawal empat hingga 11 tahun yang akan mengikuti sekolah junior harian di lokasi berhampiran. Sementara pelajar berusia 12 hingga 18 tahun akan mengikuti sekolah senior di dalam kampus utama.
Di bawah pentadbiran pengetuanya, Gareth Eynon, EC Malaysia menjanjikan kecemerlangan pendidikan yang sama seperti di EC UK dengan menggunakan Kurikulum Kebangsaan British dan sesi pembelajaran dikendalikan dalam bahasa Inggeris.
Pelajar sekolah senior akan mengikuti program di bawah International General Certificate of Secondary Education dan A-level manakala pelajar sekolah junior mengikuti New English Curriculum.
Seperti juga di UK, EC Malaysia juga akan memiliki kemudahan pendidikan bertaraf dunia. Antaranya kelas matematik, kelas sains, kelas bahasa, makmal sains, bilik ICT, perpustakaan, studio reka bentuk, 14 bangunan asrama, bilik seni, padang sukan dan permainan serta pusat kesihatan.
EC Malaysia juga akan mengekalkan reputasi EC sebagai pembekal pendidikan berkualiti tinggi selain menjadi landasan utama dalam menyediakan pelajar terbaik terutama yang bakal memasuki bidang perubatan di universiti di UK, Russell Group Universities selain universiti, kolej dan sekolah perubatan tempatan.
Orang ramai yang ingin membuat pertanyaan atau memperoleh keterangan lanjut mengenai EC boleh menghantar e-mel kepada enquiries@epsomcollege.edu.my atau layari laman web www.epsomcollege.edu.my.
No comments:
Post a Comment