Thursday, June 30, 2011

TINTA PENGERUSI SEMPENA IMTIHAN





Bismillahirahmanirrahim.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, di atas rahmat pengutusannya yang membawa sinar hidayah kepada kita, atas perjuangannya menongkah badai jahiliyyah untuk menyampaikan risalah iman dan taqwa kepada kita. Syukur ke hadrat Ilahi rabbi, kerana masih mengekalkan kita di dalam kelompok yang dimuliakan dengan Iman dan Islam.

Imam Ibn Qayyim Al-Jawziyyah pernah menyebut, selain dari mensyukuri nikmat dikurniakan Iman dan Islam tersebut, kita juga perlu mensyukuri bila mana diberikan kita kefahaman yang daqeeq terhadap kedua-dua elemen tersebut. Apatah lagi sahabat-sahabat, bila kita dipilih oleh Allah s.w.t untuk menerajui perjuangan jihad ilmu di bumi Mesir ini yang mana saya yakin dan percaya, pembudayaan ilmu itu semakin rancak melihatkan banyaknya siri-siri program kerohanian, diskusi ilmiah dan lain-lain program yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa yang dahagakan ilmu. Demikianlah sewajarnya bagi kita mahasiswa Islam, mestilah berlumba-lumba dalam perihal mendalami ilmu agama, ilmu yang sudah ada diperkasakan, ilmu yang belum dikuasai pula ditekuni agar difahami dengan jelas dan tepat.

Hindarkanlah diri dari melakukan kerja-kerja yang sia-sia, bukankah junjungan besar S.A.W pernah mengingatkan kita yang bermaksud;
“Antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tiada kena mengena dengannya.”(Riwayat Tirmizi)

Peperiksaan merupakan suatu alat yang digunakan di dalam sistem pendidikan untuk menilai sejauh mana tahap pemahaman seorang mahasiswa dalam subjek yang dipelajarinya, Walaupun timbul pelbagai persoalan tentang kelemahan sistem ini dalam menilai kualiti sebenar seorang mahasiswa, namun ia masih merupakan suatu mekanisma yang tidak dapat digantikan lagi dengan mekanisma-mekanisma yang lain. Cuma perlulah kita sebagai mahasiswa memperbetulkan perspektif kita terhadap peperiksaan. Ramai mahasiswa yang menganggap peperiksaan adalah segala-galanya, matlamat yang mereka hendak hanyalah mempunyai keputusan cemerlang, gred A untuk mata pelajaran yang mereka ambil. Lantas, ilmu-ilmu yang dipelajari hanya untuk dimuntahkan keluar semasa menjawab kertas soalan.Berakhir sahaja peperiksaan, ilmu-ilmu yang dipelajari tiada yang melekat di hati, mana tidaknya, segalanya sudah dimuntahkan keluar dalam bentuk jawapan-jawapan di atas kertas. Saya tidak menafikan perlunya kita mencapai gred cemerlang kerana ia mampu memberi keyakinan kepada majikan semasa kita mahu memohon pekerjaan setamatnya dari pengajian nanti. Tetapi apa guna jika gred cemerlang tetapi akal hakikatnya kosong dari ilmu dan maklumat?

Peperiksaan sewajarnya bukan sahaja menjadi satu alat untuk kita mengukur tahap pemahaman kita, tetapi juga satu alat dalam proses pembelajaran kita. Segala kesalahan yang kita kenalpasti semasa peperiksaan, kita semak dan fahamkan semula, mungkin kita akan lebih faham dan ingat kerana kita sudah melakukan kesalahan tersebut semasa peperiksaan (yang mana impak kekesalan itu boleh membantu kita untuk tidak mengulanginya lagi di masa akan datang.). Proses menuntut ilmu ini merupakan satu proses yang panjang. Imam Syafie Rahimahullah sendiri pernah mengatakan menuntut ilmu itu, selain dari kesungguhan, masanya juga panjang, kerana luasnya bidang ilmu itu, takkan pernah selesai dalam jangka masa yang pendek. Maka, berusahalah untuk mencapai gred yang terbaik, janganlah terlalu bersedih bila keputusan tidak seperti jangkaan kita, perbetulkan kesilapan-kesilapan yang kita buat, itu sahaja sudah memberi ilmu baru pada kita dan juga membina diri kita agar lebih cekal dan tabah menghadapi ujian kehidupan di masa yang mendatang. Hayatilah hadith Nabi s.a.w
"Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim).

Sebelum mengakhiri kalam saya kali ini, saya akhiri dengan satu kata-kata, “ you never know how strong you are, until being strong is the only choice left for you”. Bergeraklah dalam usaha menjadikan diri mahasiswa yang kuat, yang qawiyy. Berusahalah ke gerbang kejayaan, ikhlaskan niat kerana Allah, Moga Allah memberikan kejayaan yang lebih mendekatkan diri kita sebagai hamba padaNYA yang Esa.



MUHAMMAD IQBAL BIN ARIFIN
Pengerusi,
Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) Mesir
Sesi 2011/2012




“KECEMERLANGAN TERAS KEGEMILANGAN”

No comments:

Post a Comment